Blog Ale Uto

Jangan Sampai Membutohkan Diri Sendiri

Zakat Untuk Bukan Islam

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

ALOR SETAR - Pemberian zakat kepada mualaf dan bukan Muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam berikutan kebelakangan ini Islam sering disalah tafsir malah dituduh sebagai agama yang negatif.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendapat yang membolehkan zakat bahagian mualaf diberikan kepada bukan Muslim dengan tujuan dakwah relevan untuk masa kini.

“Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat mualaf kepada bukan Muslim untuk menarik minat mereka terhadap Islam,” katanya.

Menurutnya, sekiranya institusi zakat memainkan peranan dengan betul, ia dapat membangunkan umat Islam, dakwah Islam dan membina imej masyarakat Islam yang positif.

“Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan,” katanya.

Mohd Asri berkata, selain peruntukan zakat kepada bukan Muslim atas nama mualaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan Muslim.

“Majoriti berpendapat tidak boleh. Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan. Antara dalil, Saidina Umar ketika membaca firman ALLAH SWT dalam Surah al-Taubah ayat 60: ‘Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir, di zamanku mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), Riwayat Ibn Abi Syaibah,” katanya.

Menurutnya, sarjana fekah sepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi (Surah al-Mumtahanah 8-9).

“Namun bagi yang tidak memerangi Islam; sama ada warganegara Islam, yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan Islam, anak-anak dan wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat mualaf atau fakir miskin ini,” katanya.

Mohd Asri berkata, isu zakat sama ada boleh diberikan kepada bukan Muslim adalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan sarjana fekah.

“Imam al-Syafi’i berpendapat tidak boleh. Pendapat sama dikeluarkan sarjana fekah lain. Disebut dalam karyanya al-Umm: Golongan mualaf (mereka yang dijinakkan hati) sesiapa yang masuk Islam. Tidak diberikan zakat kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada berkata: Ketika peperangan Hunain, Nabi beri kepada sebahagian mualaf kalangan musyrikin. (Jawapan) itu pemberian dari harta fai (harta rampasan) atau harta Nabi SAW sendiri. Bukan harta zakat,” katanya.

Menurutnya, pendapat itu menjadi pegangan Mazhab al-Syafi’i. Berdasarkan asas kekufuran itu menghalang bukan Muslim menerima peruntukan zakat.

“Sebahagian menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan hati mereka kepada Islam,” katanya.

Mohd Asri berkata, inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, berdasarkan itu, boleh diberikan zakat bahagian mualaf kepada bukan Muslim yang berpengaruh dalam masyarakat diharap pemberian itu menggalakkan dia atau pengikut menerima Islam.

“Pendapat ini disokong pelbagai riwayat yang mana Nabi SAW memberikan kepada pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah,” katanya.

Katanya, walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi SAW memberikan harta kepada pembesar Arab (kafir) diambil dari peruntukan selain zakat, ada ayat al-Quran menunjukkan Nabi memberi zakat kepada bukan Muslim.

“Firman Allah: Surah al-Taubah (58-59) Dr Umar Sulaiman al-Asyqar: jelas golongan ini mendapat zakat, pemberian itu untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam,” katanya.
0 Kaki Cili Padi "Zakat Untuk Bukan Islam"

 
Copyright © 2014 Blog Ale Uto - All Rights Reserved
Template By Catatan Info