Blog Ale Uto

Jangan Sampai Membutohkan Diri Sendiri

Kostum Cicakman 3 Kurang Padan Untuk Nampak Realistik

Pengarah filem Cicakman 3, Yusry Abdul Halim memberitahu bahawa sebab utama mereka menggunakan kostum yang kurang padan untuk watak Cicakman adalah bagi memperlihatkan sebuah filem yang realistik kepada penonton.

Yusry, 42, berkata, ia merupakan rancangan awal pihak produksi bagi mengikut jalan cerita filem tersebut yang mana Man lakonan Zizan telah membeli kostum itu disebuah kedai kostum.

"Kami ada terima komen yang bertanya tentang kostum tersebut nampak tidak padan dan agak besar apabila dipakai oleh Cicakman, ia sebenarnya perancangan awal kami supaya ia nampak lebih real.

"Jalan ceritanya Man membeli kostum itu di sebuah kedai kostum, jadi secara logiknya baju tersebut mestilah kurang padan kerana bukan dibuat mengikut badan Cicakman sendiri," ujarnya.

Yusry berkata demikian pada sidang media tayangan perdana filem Cicakman 3 yang diadakan di Cathay Cineplex, di sini, malam Selasa.

Filem Cicakman 3 bakal ditayangkan bermula 12 Mac depan di seluruh pawagam tanah air.

Ia dibintangi pelakon hebat seperti Zizan Razak, Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Rykarl Iskandar dan Bell Ngasri.


Tambahnya, perbelanjaan untuk kostum sahaja mencecah RM100,000 daripada kos keseluruhan filem tersebut iaitu RM 3.5 juta.

"Kostum watak Cicakman dan sebuah watak lagi iaitu Superbro menelan belanja RM100,000, kita buat beberapa helai untuk Zizan, Fizz Fairuz dan pelakon-pelakon stunt.

"Kostum Superbro labih mahal dan ia juga berbeza dengan yang digunakan oleh pelakon stunt yang direka khas bagi mengelakkan kecederaan ketika berlawan," ujarnya.

Dalam pada itu, Yusry berkata, formula filem ini kembali kepada konsep Cicakman 1 yang lebih menampilkan unsur komedi.

Katanya, ia berikutan permintaan penonton dan peminat filem siri ini yang mahu menonoton lebih banyak lawak jenaka.

"Kita kembali kepada formula Cicakman 1 yang lebih komedi dan membuat beberapa penambahbaikan. Kita lihat Cicakman 1 mendapar respon yang sangat baik terutama golongan sasaran kepada keluarga.

"Tetapi Cicakman 2 lebih serius dan agak kurang diterima oleh peminat Cicakman dan disebabkan itu kita kembali kepada konsep asal iaitu menyelitkan lebih banyak unsur komedi," ujarnya.

Filem mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Man yang terlalu taksub dengan Cicakman sehingga rumah tangganya hampir hancur. Kehidupan Man berubah apabila dia menemui serum kepunyaan Cicakman yang memberi kuasa luar biasa.

Filem terbitan KRU Studios, Grand Brilliance dan Astro Show ini juga turut menampilkan pengarah bersama iaitu Ghaz Abu Bakar.
0 Kaki Cili Padi "Kostum Cicakman 3 Kurang Padan Untuk Nampak Realistik"

 
Copyright © 2014 Blog Ale Uto - All Rights Reserved
Template By Catatan Info