Blog Ale Uto

Jangan Sampai Membutohkan Diri Sendiri

Aku Nak Boikot Nasi Campur

nasi campur

Nasi + sambal tempe + sambal kerang + sayur campur + telur masin separuh + ais kosong = RM7.00?

Ni kisah aku yang dah naik meluat dengan nasi campur. Apa tidaknya, minyak naik harga, makanan pun naik harga. Tapi bila minyak turun harga, tak pula harga makanan turun-turun!

Ceritanya begini, semalam aku kempunan nak makan tempe, so aku pergi warung nasi campur. Aku ambil nasi + sambal tempe + sambal kerang + sayur campur + telur masin separuh + ais kosong = RM7.00.

Mak oi! Mahal nak mampus. Tapi apa nak buat, nasi dan lauk dah ambil, jadi nak tak nak aku cebikkan mulut dan bayar cashier yang pakai tudung litup tapi berbaju sendat ala-ala nak jadi The Hulk tu. Dalam hati, aku geram bagai nak rak.

Apa tidaknya, nak makan roti canai dan nasi kandar di kedai mamak – asyik tercirit tak sudah-sudah. Dah kena boikot.

Nak makan berger tepi jalan, langsung tak konsisten – kejap buka kedai, kejap tutup kedai; kejap mamat botak yang jaga kedai, kejap mamat perut boroi pula. Itu pun aku dah boikot.

Ada sekali tu aku ikut member pergi makan nasi daun pisang dekat restoran India. Fullamak, sedap memang sedap sampai jilat ibu jari. Tapi dapat saja bil, hampir aku nak pitam. Kalau aku tahu daun pisang tu punya la power sampai boleh melipat-gandakan harga makanan, awal-awal lagi aku bawa daun pisang sendiri. Tak boleh jadi ni – boikot!

Sekali tu aku teringin nak pekena satay. Rupanya harga dah naik! Pelik bin ajaib betul, sedangkan ayam itu kan barangan kawalan, macamana pula harga satay boleh naik? Boikot!

Lepas tu aku rajin juga pergi makan di kopitiam cina yang halal. Tapi harga dia tak boleh tahan la. Bayangkan makan nasi goreng seafood dengan udang accident sekadar tiga empat ketul tu pun dia caj RM8.90. Tak boleh jadi ni. Nasib baik YB Ismail Sabri ajak boikot. Apa lagi, bila menteri yang tanggungjawabnya menjaga kepentingan rakyat bagi nasihat suruh boikot, kita kena la ikut kan. So aku pun pakat boikot.

Anyway, berbalik kepada kisah aku dan nasi campur. Aku memang tak puas hati langsung dengan kejadian yang menimpa aku di warung nasi campur. Jadi aku pun tanyalah member-member, manalah tahu mungkin diorang ada nak share experience yang lebih kurang serupa.

Seorang member aku kata dekat tempat dia, nasi separuh + ayam bahagian dada (ayam tengah diet, kurus kering takdak isi) + bergedil + sayur taugeh = RM7.00. Mamat yang seorang lagi kata nasi putih 1 mangkuk + ikan 1 ketul + sayur sikit + Milo ais = RM8.20. Member seorang lagi secara berseloroh katanya kalau nak nasi campur bawah RM5, ambil saja nasi + kuah.

Jadi aku sekarang ni nak boikot nasi campur. Bayangkanlah, warung bawah pokok, didirikan atas longkang besar dan beratapkan zink pun nak caj mahal-mahal. Tak patut, memang tak patut sama sekali.

Aku harap semua orang yang kongsi pengalaman yang serupa dengan aku akan join sekali boikot bersama. Aku juga harap tak lama lagi YB Sabri Ismail pun akan buat kenyataan media ajak semua orang boikot peniaga Melayu nasi campur dengan harapan dapat menurunkan harga.

Haa…kan best kalau macam tu? Masa peniaga Cina naikkan harga, kita boikot mereka. Masa peniaga Melayu naikkan harga, takkan la kita nak duduk diam je kan. Itu kan namanya hipokrit.

Sementara tu, aku rasa lagi baik aku makan mi segera je. Murah pun murah. Sedap pun sedap. Nak diikutkan hati, dah lama aku sentap. Bukan sekadar mi segera, restoran makanan segera ayam goreng dan ‘mekdee’ pun best jugak. Ada promo set sarapan, makan tengahari, snack time dan makan malam, semuanya bawah RM7.00. Tapi tak boleh, aku kena berpegang pada azam tahun 2015 – aku nak kurus. Jadi nak tak nak, aku boikot semua makanan yang menggemukkan dan memudaratkan kesihatan.

Setakat ni aku dah boikot kedai mamak, kedai Cina, kedai India, makanan segera dan latestnya kedai Melayu. Jadi apa alternatifnya? Haish, kena mula bawa bekal dari rumah la ni. Tapi kalau nak bawa bekal, aku kena pergi pasar beli beras, ikan dan sayur – itu maknanya aku kena berdepan dengan taukeh-taukeh yang suka naikkan harga lagi tu! Kan Sabri dah bilang suruh boikot peniaga yang naikkan harga. Camana ya?

Nampak gayanya aku kena la ikut nasihat Pak Lah dan mula bercucuk tanam belakang rumah. Nasib…nasib…
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Makan nasi campur termengah-mengah,
Tak sedar pula dah naik harga.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Nasib baik kita ada YB Sabri,
Jom boikot peniaga yang tunjuk belang.
0 Kaki Cili Padi "Aku Nak Boikot Nasi Campur"

 
Copyright © 2014 Blog Ale Uto - All Rights Reserved
Template By Catatan Info