Blog Ale Uto

Jangan Sampai Membutohkan Diri Sendiri

DITINGGAL SUAMI KERANA LUMPUH

ditinggal suami

MENGENALI Ariani (bukan nama sebenar), dia merupakan seorang wanita yang sangat tabah dan cekal. Walaupun ditimpa dengan dugaan yang sangat berat, dia tidak mudah menitiskan air mata atau bercerita kisah rumah tangganya dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Ariani berumur lewat 20an dan sudah berkahwin dengan seorang pegawai kerajaan bernama Haris (juga bukan nama sebenar). Walaupun sudah dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata. Pun demikian, mereka tetap bahagia dan tampak seperti pasangan yang masih berbulan madu.

Jika Haris tidak bekerja, mereka berdua sering pergi melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, menyelam, meneroka hutan dan sebagainya.
Ariani memiliki ijazah dalam bidang Sains Sukan dan merupakan seorang yang aktif. Dia pernah bekerja sebagai jurulatih sukan di sebuah sekolah sukan.

Dia seorang yang periang, cantik, lemah lembut dan bersopan-santun. Bagaimanapun takdir yang tidak diingini menimpanya apabila secara tiba-tiba dia sering demam dan tidak sihat. Walaupun telah berjumpa doktor, sekadar dikatakan hanya demam biasa. Hinggalah pada suatu hari Ariani demam teruk dan tidak boleh bangun. Badannya begitu lemah dan tidak bermaya langsung sehinggakan tidak boleh membuka mata. Tubuhnya dirasakan sakit-sakit.

Haris membawanya ke hospital dan doktor melakukan ujian demi ujian bagi memastikan penyakit yang dihidapi oleh Ariani.

Akhirnya doktor mengesahkan bahawa dia menghidap penyakit multiple scelerosis, sejenis penyakit yang sukar diubati dan sukar disembuhkan sepenuhnya.

Ariani cuba mencari maklumat mengenai penyakitnya dan dia tidak menyangka menghidap penyakit yang dianggap serius. Menurut maklumat yang diperoleh melalui internet, penggunaan berterusan ubat-ubatan biasanya menyebabkan penghidapnya menjadi lebih sakit kerana ubat-ubatan tersebut merupakan toksik kepada tubuh penghidapnya.

Katanya lagi, kesan daripada penyakit tersebut juga agak menakutkan kerana penghidapnya boleh kehilangan keupayaan untuk bertutur, tidak boleh berjalan secara normal dan tidak dapat melihat dengan jelas.

Berbalik kepada kisah rumah tangga Ariani, setelah keluar hospital, Haris membawanya pulang. Kehidupan Ariani berubah sedikit demi sedikit.
Dia tidak lagi bekerja kerana tidak berupaya untuk berdiri apatah lagi hendak berjalan. Pergerakannya setiap hari hanya bergantung kepada kerusi roda.

Hendak ke dapur berkerusi roda, memasak dengan berkerusi roda dan melakukan kerja-kerja rumah juga sambil duduk di atas kerusi roda.
“Sesekali saya bangun dan berjalan juga tetapi tidak boleh lama kerana mudah berasa penat. Saya memasak juga untuk suami dan melakukan kerja rumah. Tiada sesiapa yang menemani di rumah kerana saya yakin saya boleh melakukan semua kerja rumah.

“Kadang-kadang Haris membawa saya keluar bersiar-siar tetapi saya tidak boleh langsung terkena cahaya matahari kerana akan menyebabkan kulit saya menjadi merah.

“Jadi, bagi mengelakkan saya daripada terkena panas, Haris memasang plastik pelindung cahaya pada keretanya dan saya perlu memakai kaca mata gelap sepanjang berada di luar. Hubungan kami baik sahaja dan Haris melayani saya dengan baik. Jika tidak bekerja, dia yang akan melakukan kerja rumah. Dia tidak pernah merungut atau mengecilkan hati saya. Walaupun saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri tetapi dia tidak pernah marah-marah”, kata Ariani

“Suatu hari saya berasa tidak sedap hati. Saya mengesyaki sesuatu apabila Haris selalu balik lambat. Katanya, dia menyertai latihan sukan di tempat kerjanya. Pada hujung minggu juga dia sering keluar dengan alasan mendaki gunung, berbasikal dan sebagainya.

“Walaupun demikian, saya tidak bertanya apa-apa kerana tiada bukti yang saya peroleh. Saya tidak mahu cemburu buta. Suatu hari Haris berkata dia bersama kumpulan sukan di tempat kerjanya akan melakukan aktiviti menyelam di sebuah pulau di Sabah.

“Empat hari dia di sana dan saya dihantar tinggal di rumah adik saya. Setelah dia pulang, saya pun pulang ke rumah. Semasa hendak membasuh pakaiannya yang kotor, saya terjumpa jaket wanita. Saya bertanya kepadanya dan dia mengaku jaket itu kepunyaan salah seorang ahli dalam kumpulan tersebut.

“Saya bertanya lagi kerana tidak munasabah dalam ramai yang pergi, mengapa jaket itu yang ada padanya. Setelah didesak, dia mengaku berkawan rapat dengan si empunya jaket. Kata Haris sudah lama dia tertarik dengan wanita tersebut dan bercadang untuk mengahwininya,” cerita Ariani.

Tambahnya, dia sedar kekurangan yang ada pada dirinya dan tidak mampu untuk menghalang keinginan suaminya. Mungkin suaminya mahukan seorang isteri yang boleh menemaninya ke mana-mana dan mahukan zuriat. Kata Ariani, walaupun dia memberitahu Haris bahawa dia sanggup menanggung risiko untuk hamil dalam keadaan kesihatannya yang tidak stabil namun Haris berkata, dia tetap mahu berkahwin dengan rakan sekerjanya itu.

Ujarnya, puas dia memujuk namun Haris tidak makan pujuk. Haris keluar rumah dan menumpang di rumah abangnya. Abangnya juga tidak boleh menasihatkannya. Haris tetap dengan keputusannya. Tinggallah Ariani di rumah kerana dia tidak mahu keluar dari rumahnya sendiri. Dia cuma berharap agar suatu hari nanti Haris akan menyedari kesilapannya dan kembali kepadanya.

Kini, setelah enam bulan berlalu, keadaan Ariani nampak semakin baik. Selain mendapatkan rawatan di hospital, bapanya turut membawanya berubat secara perubatan Islam.

Haris yang diketahuinya melalui kawan-kawan sepejabatnya masih belum berkahwin dengan kekasihnya itu. Menurut kawan-kawan Haris, keluarga kekasihnya tidak bersetuju anak mereka berkahwin dengan suami orang.
0 Kaki Cili Padi "DITINGGAL SUAMI KERANA LUMPUH"

 
Copyright © 2014 Blog Ale Uto - All Rights Reserved
Template By Catatan Info